Ini bukan kali pertama aku menjejakkan kaki ke bumi Melaka. Tapi ini kali pertama aku menjejakkan kaki ke bumi dengan seribu satu sesalan dan harapan. Kalau dahulu, aku terawang-awang di celahan awanan mimpi indah, kini aku terbangun dan menyedari awan itu masih diatas, kakiku masih dibumi.
Melaka menjadi destinasi pilihanku kerana banyak faktor dalaman dan luaran. Aku memang sudah lama mengimpi kehidupan di bandar yang maju, tapi Kuala Lumpur terlalu sesak dan memeningkan kepala. Kalau selama ini, kehidupan aku cuma berkitar di kampung, kini, aku betul-betul berada di sebuah bandar besar. Kenapa bandar? kerana bandar lebih berdaya saing dan berdaya maju berbanding kampung. Tidak aku nafikan ada orang yang berjaya dari kampung, tapi aku pasti orang itu bukan aku. Aku lebih suka bandar dengan serba serbi lengkap pelbagai kemudahan yang boleh aku manipulasi. Aku rasa menyesal kerana pergi ke "Bandar U Tidak Lengkap" yang ternyata, satu idea bodoh dan keputusan tergesa-gesa lagi melulu. Kenapa aku tidak berfikir panjang dahulu? Kenapa aku tidak tegas pada masa itu? Kenapa aku tidak turutkan kemahuan hati yang benar, serta mengikut telunjuk orang? Ini bukan hidup mereka, ini hidup aku!
Ah! Persetankan semua kesal dan keluh kesah itu. Kini, aku ada misi baru. Kini, pilihan sudah dibuat. Satu lagi peluang untuk cemerlang. Satu lagi peluang untuk memperbaiki kehidupan. Satu matlamat yang belum tercapai, akan tamat disini. Aku adalah pejuang diri sendiri, berjuang untuk memajukan diri, perjuangan menuju redho ilahi. Peluang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk mencipta kehebatan seorang manusia!
MISRA.
Majlis Induksi Siswa Ramah adalah interpretasi aku sendiri. Aku sendiri tidak tahu makna asalnya, malahan mereka juga tidak tahu. Tiada kepentingan di situ. Tapi, apa yang penting, ia suatu yang memberikan banyak pengalaman dan membantu aku mengenali tempat baru, Kolej Profesional Mara Bandar Melaka. Banyak pengalaman manis yang memberikan senyuman, tidak kurang juga pengalaman pahit yang sudah pasti, suatu pengajaran penting untuk diambil iktibar.
Kini, sudah hampir sebulan aku disini. Masih banyak lagi perancangan yang belum aku laksanakan. Malahan, banyak juga yang masih terbengkalai, menunggu waktu untuk selesai. Aku yakin, dengan penuh keazaman dan sebegini banyak bantuan serta galakan, mustahil kegagalan menerpa...
Aku kini mampu melihat masa hadapan.
No comments:
Post a Comment